Mei 2013

This world doesn't makes any sense anymore~




Thursday, November 25, 2010

Che Tom Bukannya Sekolah

Kita kalau nak marah, dengan siapa-siapa pun boleh marah. Malah, dengan apa-apa pun boleh dijadikan tempat melepaskan kemarahan. Kalau Che Tom, tak pasti juga sama ada boleh dirujuk sebagai 'siapa?' Entahlah, kena tanya guru bahasa.


Che Tom. Seekor kucing. Taklah comel, tapi merupakan kucing yang penuh dengan emosi. Che Tom ini jantinanya jantan. Tapi sebab dia emosi lebih, aku terfikir sama ada mungkinkah kucing ini khunsa?

Cerita Che Tom. Pada satu hari yang rembang, Che Tom datang berlenggang kangkung sambil menegur aku di dapur. "Miaw.." dengan matanya dikelipkan perlahan seolah-olah berkata " Waktu makan sudah?"

Che Tom orang kampung je. Maksud aku, kucing kampung. Jadi, tak lah makan Whiskas macam kucing jiran aku. Che Tom cuma demand lauk, nasi tolak tepi. Melainkan nasi itu digaul dengan kicap, mungkinlah Che Tom makan sikit. 

CHE TOM & RAKAN BORAKNYA
Sekampung-kampung Che Tom, melalui kaca mata aku dan family, Che Tom sangat mementingkan kualiti makanan sebelum menjamahnya. Ikan lama, daging ayam yang lama, Che Tom akan mendengus tanda marah, kemudian lauk tersebut akan dibiarkan tidak berusik. Tengah-tengah malam, baru Che Tom terhendap-hendap untuk makan semula makanan tersebut. 

Paling menghairankan, aku selalu tertanya-tanya adakah Che Tom berak? Aku tak pernah jumpa tahi Che Tom. Bila aku riuh bertanyakan emak, aku pula dimarahi. Baguslah tak ada tahi, kata mereka.

Hari ini, Che Tom sudah tua. Aku ingat lagi waktu zaman retro Che Tom dulu, Che Tom kencing berdiri di lubang tandas. Che Tom tidak diajar, tapi banyak memerhati. Kadang-kadang adalah juga emak aku menasihati Che Tom. Katanya, kalau nak survive lama di dunia ini bersama manusia, jaga sikit kelakuan tu. Che Tom mengiau sekali tanda berkata " yalah tue.."

 INILAH BOB PEMALAS
Che Tom terang hati kerana dia tak suka mengendap anak dara orang mandi. Tak macam kucing jiran aku, Bob namanya. Sudahlah selekeh, suka mengendap pula. Sudahlah mencuri lauk, tak reti nak tutup tudung saji elok-elok pula.

Kembali kepada cerita Che Tom hari ini, dia semakin tua. Bila tua, dia nyanyuk, pelupa dan terus amnesia. Che Tom lupa di mana tandas, bila waktu makan dan Che Tom selalu muntah. Cicak di rumah semakin banyak, lipas juga. Bulu Che Tom tidak lagi bersikat dan banyak tahi mata menempek menjadikan aku geli dan selalu memarahinya. Gelaran kucing kasanova terpaksa aku lucutkan untuk Che Tom. Disebabkan kasanova, Che Tom ada waris yang banyak tetapi semuanya tak mahu bela Che Tom. Jadilah Che Tom kucing duda. Mungkin juga bujang terlajak. Tapi yang pasti, Che Tom bukan lagi teruna.

CHE TOM DI ZAMAN MUDA-MUDI

Tanggal 20 November mungkin, hari itu sangat panas. Aku berfikir, itu mungkin kerana petangnya akan hujan lebat, jadi aku turut panas hati apabila Che Tom membuat bising. Che Tom lupa bahawa dia sudah makan. Dua ketul ayam terpaksa aku goreng cincai-cincai untuk memuaskan nafsu makannya. Maklumlah, daging korban adalah haram untuk Che Tom. Mungkin sebab itu Che Tom berkecil hati apabila kami makan tanpa mempelawanya. Lalu Che Tom mogok tidak menangkap cicak dan lipas di rumah lagi.

Saat aku membebel, Che Tom melihat aku dengan pandangan sayu dari bawah meja makan. Waktu itu, aku tengah memotong daging. Kata aku, hidup jangan terlalu memilih. Kalau layak memilih, tak apa. Ini tidak, tak tahu nak ukur baju di badan sendiri pulak. Kemudian aku berhenti sekejap untuk minum air. Che Tom terkebil-kebil melihat aku kemudian mengiau sedas. Mungkin bertanya " apa ang merepek ni?" 

Lalu aku menambah, tahu la bersyukur sikit. Bila orang dah bagi tu, ambil saja jangan banyak songeh. Tolong apa yang patut, bukan rehat macam raja. Hidup ada give and take. Walaupun orang ikhlas, jangan hanya tahu meminta. Jangan asyik tahu makan tapi tak tahu nak tangkap cicak! Bentakku lagi.

Mata Che Tom mula berkaca-kaca menutupi matanya yang hijau jernih itu. Che Tom mengiau lanjut, kemudian dengan tangan kirinya yang comel, Che Tom mengusap matanya lembut. Eh, Che Tom menangis?

Che Tom memandang aku dan berkata " masuk habuk" padahal aku tahu dia sedih apabila aku mengungkit-ngungkit.

Mengungkit adalah perkataan yang tidak sedap. Malah aku tidak suka dikatakan mengungkit oleh Che Tom. Anda juga begitu pastinya. Tapi, apabila orang ataupun ekor seolah-olah lupa sesuatu yang disebut jasa, terasa ingin bagi mereka sedar semula, bukan? Mungkin mereka tidak tahu apa yang telah kita pertaruhkan untuk berjasa kepada mereka. Mungkinlah kan.

Kalau rasa tidak puas hati itu ditelan, aduhai, susahnya. Seperti malam yang hujan lebat, blackout dan tiada lilin. Tiada apa yang menarik boleh dibuat, lalu tidur sahaja.

Che Tom ini bagaimana? Patutkah aku buang daripada kamus hidupku?


11 comments:

Al said...

Adakan gmbr terakhir tu mgambarkan tindakan yg akan diambil??ohh sgguh sadis..

biase la, masa muda utk memberi jasa
masa tua utk diberi jasa
sume pon bgitu kot

Ntahle, ak xpenah bela kucing
burung adela, yg tu senang
last2 leh wat masak kari
kira jasa terakhir la tu haha

kucing???hmmmmm....

.: Si BungaKopi : . said...

Al,
aku rasa xpenah makan burung kot.
kucing tu utk pendengar masalah kita kau tahu x? dia ekor paham.

Jef Hadi said...

kalau akak dah taknak. sudi agaknya saya ni. buat pengganti kucing yang hilang dilarikan orang.


*setujulah bila kata, kucing ni pendengar masalah yang baik. hehe.

beautiful_rose said...

rindu betul aku pada browney yang sudah hilang sejak awal tahun hari tuh...

.: Si BungaKopi : . said...

sastraboy,
jauh nak import bawa ke tempat kamu. kos tu, kos. huhu

beautiful rose,
sedap nama kucing, ingatkan biskut td. huhu

Husna Hadzarami said...

laah. kau ni pun, dah nama pun dia nyanyuk amnesia semua. mestilah dia cepat lupa jasa kau tu.

janganlah buang. kau sendiri cakap dia pernah jadi pendengar masalah kau dulu :)

.: Si BungaKopi : . said...

Husna,
ye jugak. aku ingatkan dia dah xkenang budi lg.

cik zaty fiziaty said...

sweet story...
aku suka kucing..hahaha...

.: Si BungaKopi : . said...

cik zaty fiziaty.
macehh. me too

Anonymous said...

weh..i nak pic hakim dgn kucing..boh dalam fb..tagged eh..pic tu menarik

.: Si BungaKopi : . said...

cik anon,
nak tag atas nama siapa ya?